Ancaman terhadap Rangkaian Komputer dan Internet
Komputer yang bersambung dengan rangkaian (online) akan berhadapan dengan risiko keselamatan yang lebih tinggi berbanding komputer yang tidak bersambung (offline). Ancaman akan mudah tersebar ke serata komputer di dalam rangkaian. Manakala rangkaian komputer yang bersambung dengan Internet akan berhadapan dengan risiko yang berganda. Ancaman boleh jadi datang dari mana-mana bahagian dunia pada bila-bila masa sahaja.
Antara ancaman kepada rangkaian komputer dan Internet termasuklah Virus, Worms, Trojan dan Rootkits.
Apakah Virus, Worms, Trojan dan Rootkits?
Virus adalah sejenis skrip atau program yang boleh mengganggu komputer dengan mengubahsuai tetapan atau program yang terpasang padanya. Ia juga boleh menyalin dirinya ke medium storan komputer termasuk storan mudah alih seperti storan USB. Hal ini mendedahkan kepada risiko tersebarnya serangan virus kepada komputer lain melalui perkongsian storan mudah alih tadi.
Worm adalah skrip atau program yang boleh menyalin dirinya berulang kali dan memenuhi storan komputer atau menyesakkan perhubungan data dalam rangkaian. Akibatnya sistem komputer atau rangkaian akan terganggu seperti menjadi perlahan atau tidak responsif.
Trojan adalah sejenis skrip atau program jahat yang berupa seperti perisian yang sah atau berguna. Trojan akan melancarkan serangan terhadap komputer atau rangkaian apabila tiba masa yang telah diaturkan oleh penciptanya. Trojan tidak akan menyalin dan menyebarkan dirinya ke komputer lain.
Rootkit adalah program yang menyorok di dalam komputer dengan tujuan untuk dioperasikan secara jarak jauh. Apabila ia berjaya menyerang sesebuah sistem atau rangkaian, penghantarnya berupaya menjalankan program, menukar tetapan, memantau aktiviti dan mencapai fail mangsa.
Virus, Worm, Trojan dan Rootkit diklasifikasikan sebagai malware iaitu singkatan kepada malicious software (Melayu: perisian jahat) yang ringkasnya beroperasi tanpa pengetahuan pengguna dan boleh mengubahsuai sistem komputer atau rangkaian tanpa kebenaran pemiliknya.
Apabila sistem komputer atau rangkaian dijangkiti oleh serangan skrip atau program ini, pengguna boleh mengesan tanda-tandanya seperti
1. Operasi menjadi perlahan.
2. Sistem tidak responsif.
3. Fail rosak.
4. Keluar paparan mesej yang pelik.
5. Sistem berhenti secara tiba-tiba.
Bagaimana mengelakkan ancaman Virus, Worm, Trojan dan Rootkit?
1. Jangan amalkan perkongsian storan mudah alih.2. Jika perlu berkongsi, scan dahulu storan mudah alih dengan perisian anti malware.
3. Jangan sambung komputer ke rangkaian Internet jika tidak perlu.
4. Apabila bersambung ke rangkaian komputer atau Internet, lawat atau guna sumber yang diketahui sah dan selamat sahaja.
5. Elakkan dari download fail yang tidak diketahui kesahihan kandungannya.
6. Kawal dari mengunjungi atau download dari pautan yang ditawarkan dengan ciri-ciri yang terlalu menarik.
No comments:
Post a Comment