Auto-generate Flow Chart from Java/C++ Codes:

Raptor Flowchart Tutorial For Beginners

Thursday, January 19, 2012

Pelajar Wanita Ugut PM Dalam Facebook Ditahan Polis

(tajuk berkaitan:Police Detain Student Who Threatens PM On Facebook )

ALOR SETAR, 19 Jan (Bernama) -- Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan polis hari ini, kerana menulis kenyataan berunsur lucah dan berbaur ugutan terhadap Perdana Meteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial.



Penuntut wanita berusia 20 tahun dari sebuah IPTS di Kuala Muda itu ditahan pada pukul 9 pagi, selepas polis menerima laporan mengenai kenyataan yang dipercayai ditulis wanita tersebut pada akaun Facebook (Tahukah anda apa itu Facebook?) miliknya.



Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 malam semalam mengenai perkara itu, dan menahan penuntut terbabit selepas mengenal pasti pemilik akaun Facebook tersebut.



"Kita telah ke universitinya dan melalui pihak universiti, kita telah memanggil pelajar itu untuk diambil kenyataan berhubung berkara itu," katanya kepada pemberita, di sini malam ini.



Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba milik pelajar tahun dua IPTS tersebut untuk siasatan.



"Kita juga turut memanggil ibu bapa pelajar itu bagi membantu siasatan," kata Ahmad.



Katanya memandangkan pelajar itu masih lagi dalam minggu peperiksaan, pihaknya telah membebaskan pelajar tersebut petang tadi selepas diambil keterangan bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan.



"Kita akan memanggil beberapa individu lain untuk memberi keterangan berhubung perkara ini. Kita juga akan memanggil pelajar tersebut pada bila-bila masa jika perlu," katanya.



Beliau berkata pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan terhadap pelajar itu dan akan menyiasat dengan terperinci perkara tersebut.



"Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.



-- BERNAMA


'Rosmah-inspired' game for Apple users



Users of Apple electronic gadgets iPod, iPad and iPhone can now pick up some tips on how to save for the future, thanks to a game seemingly inspired by the prime minister's wife Rosmah Mansor.


Apa itu Virus Koobface?




Koobface juga disebut sebagai Cacing Facebook, Cacing Myspace atau Virus Facebook adalah sejenis Cacing (English:Worm) yang tersebar melalui mesej di jaringan sosial seperti Facebook dan MySpace. Cacing ini mampu menyusup ke PC anda dan kemudian membiak (menggandakan diri, English:replicate) dan menjangkiti semua fail yang ada dalam harddisk.

Beza antara cacing dan virus, jika virus biasanya akan menempel di fail-fail yang ada dalam computer anda, Cacing pula akan menghapuskan fail yang ada dan membuat fail tiruan yang sudah dijangkitinya. Hebatnya lagi Cacing ini mampu mengirim email automatik dari PC yang sudah dijangkitinya ke PC lainnya untuk menyebarkan diri.

Bagaimana Cacing bekerja?

Biasanya Cacing ini tersebar melalui mesej menggunakan akaun kenalan anda di facebook, seolah-olah kenalan itu sedang mengirimkan pautan foto atau video. Kadang-kadang disertai ayat-ayat yang memerangkap seperti “you look funny in this video” atau “you look so stupid in this pic“. Atau berisi nama dan isu-isu orang terkenal lagi hangat. Misalnya yang terbaru adalah penyebaran pautan video bernama Obama atau yang berbau pornografi. Apabila anda klik pautan untuk membuka video yang diterima, sebuah player video akan muncul tapi video tidak dimainkan sebaliknya anda diminta untuk memuatturun codec atau melakukan update video player. Ketika anda mengikuti arahan itu (muatturun atau update), sebuah file Cacing atau Trojan yang bernama codecsetup.exe atau tinyproxy.exe akan diaktifkan. File inilah yang kemudiannya menyerang dan menjangkiti seluruh fail dan sistem di komputer anda.

Contoh - contoh "umpan" penyebaran Virus Koobface:

  • Pautan pada Mesej

  • Pautan dengan kata kunci dan gambar yang "Hangat" (English:"Hot!")

  • Pautan untuk menaiktaraf "Video Player"

Cara Membuang Koobface.

Jika komputer anda sudah ditembusi koobface, cara paling mudah untuk membuang Cacing ini adalah dengan menggunakan Perisian Anti Pengintip (English: anti spyware). Jangan lupa untuk naiktaraf (update) Perisian Anti Pengintip anda juga kerana supaya lebih effektif.




Topik berkaitan:

Wednesday, January 18, 2012

'Akta komputer' runsingkan pengguna sumber terbuka

Lanjutan Protes wikipedia terhadap Stop Online Piracy Act, SOPA telah mengakibatkan seluruh dunia terkesan dengan impak peruntukan undang-undang negara terhadap dunia siber. Di bawah adalah tulisan berkenaan Draf Akta Lembaga Jurukomputer Profesional 2011 yang merunsingkan banyak pihak. Sumber asal : http://www.malaysiakini.com/news/184183



Baru-baru ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengeluarkan draf Akta Lembaga Jurukomputer Profesional 2011.

Draf ini mengejutkan banyak pihak. Rata-rata mereka menyangka jika ia berjaya menjadi akta, pengamal komputer atau teknologi maklumat (IT) akan diwajibkan mendaftar diri atau entiti bersama lembaga yang akan ditubuhkan.

Tidak kurang juga yang tersalah baca draf sehingga menyangka, mereka yang tidak mempunyai 'lesen' atau 'sijil' dari lembaga ini tidak boleh melakukan kerja IT, termasuklah membaiki komputer, menjualnya atau membuat pengaturcaraan.

Sikap kementerian yang mengeluarkan hanya versi draf bahasa Inggeris sahaja memburukkan lagi salah faham. Apatah lagi yang membaca itu kurang mahir dengan bahasa itu dan dicampur pula bahasa perundangan. Sedangkan parlimen akan membekalkan dokumen rang undang-undang, aturan mesyuarat atau usul dalam dwi-bahasa.

Bola salah tafsiran ini akhirnya bergumpal dan menjadi besar.

Apa hajat MOSTI?

Akibat dari kepelbagaian pandangan berkaitan, MOSTI akhirnya membuat Hari Terbuka Lembaga Jurukomputer Malaysia (BCPM) pada 13 Disember bagi mendapatkan input dari pengamal dalam industri ini. Maka salah fahan dan kekeliruan dapat diperbetulkan sedikit sebanyak.

BCPM yang bakal ditubuhkan nanti akan mengiktiraf pihak yang mahir dalam bidang ini dan diberikan beberapa kelebihan tertentu, termasuklah kerja-kerja yang berkaitan Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) dan beberapa bidang kerja berkaitan kerajaan.

Kalau arkitek mempunyai Lembaga Arkitek Malaysia, kalau jurutera ada Lembaga Jurutera Malaysia. Kenapa tidak kita ada lembaga yang serupa bagi bidang komputer?

Saya dan rakan-rakan tiada masalah mengiktiraf cerdik pandai di Malaysia. Namun dalam draf ini, beberapa perkara agak merunsingkan kami.

Menjurus pada kronisme

Jika dirujuk pada draf, ada dua keadaan yang boleh menjerumus kepada kronisme:

Kuasa menteri untuk menggantung akta ini dari sebahagian tempat di Malaysia atau menggantung sebahagian pecahan dalam akta.
Kuasa mutlak menteri untuk melantik ahli lembaga.

Senario yang mungkin timbul, apabila wujud keadaan di mana seseorang ingin mendapatkan kerja yang berkaitan CNII namun tiada kelayakan, pelepasan boleh diberikan dengan dengan kuasa Menteri.

Pemilihan ahli lembaga juga boleh jadi berat sebelah - walaupun ada dipilih dari kalangan kerajaan dan bukan - kepada dukungan parti politik tertentu atau apa-apa dukungan yang tersasar dari matlamat asal penubuhan lembaga.

Kerja-kerja yang berkaitan dengan CNII sudah semestinya mempunyai jutaan nilai ringgit, orang perseorangan yang mendaftarkan diri sebagai profesional agak tidak mampu mendapatkannnya. Tetapi, kalau anda ada syarikat besar, ada 'kabel' kuat, senario ini tidak mustahil berlaku.

Bertambah buruk lagi kalau tender atau kerja yang dikeluarkan ini bawah MOSTI, bukan agensi kerajaan lain.

Jangan sampai kering darah

Kalau kita sudah membeli kereta, tidak semestinya kita boleh memandunya. Kena ambil lesen, keluar duit. Sudah ada lesen, kena bayar tol, cukai jalan, insurans maka bertambahlah duit yang melayang sampai sesak nafas.

Sebab itu Malaysia ada istilah cekik darah.

Di Malaysia, sudah banyak benda yang perlu diambil untuk menjadikan seseorang atau syarikat itu layak membuat kerja-kerja berkaitan komputer. Dua contoh yang paling besar adalah berdaftar dengan Kementerian Kewangan atau mendapatkan status MSC.

Itu belum campur kos untuk masuk tender, 'duit gula-gula', 'duit main golf' dan kos-kos lain.

Tetapi, dengan adanya segala macam ini. Benarkah kita mampu hasilkan negara berpendapatan tinggi, negara yang terhebat dari sudut infrastruktur IT?

Kalau anda mahir dalam bidang komputer, anda akan tergelak dengan sekuriti server milik agensi kerajaan. Nokhtah.

Saya khuatir, pelaksanaan akta ini hanya akan menjadi satu lagi alat manipulatif kerajaan untuk mencari punca pendapatan tambahan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat yang terbanyak akan menerima kesan ketara sampai kering darahnya!

Jejas kreativiti

Dunia komputer atau IT tak sama dengan dunia arkitek atau binaan. Bangunan mungkin boleh guna 100 tahun malah Piramid beribu-ribu tahun pun boleh tahan!

IT ini ibarat susu, esok lusa sudah basi. Dulu anda mungkin berlagak gunakan DVD. Sekarang orang dah pakai cakera keras luaranyang mencecah saiz 1.5TB. Dahulu mungkin anda rasa 1GB RAM itu banyak, tetapi sekarang 8GB pun masih belum puas.

Beberapa klausa dalam draf ini tidak membenarkan anda menjalankan aktiviti yang terkeluar dari bidang yang diluluskan, kalau anda melaksanakan kerja yang memerlukan pensijilan lembaga.
Malah anda memerlukan pengiktirafan dari badan-badan yang diluluskan kementerian sebelum boleh mendapat pensijilan bidang-bidang ini.

Ini sebenarnya agak kaku dan keras dari segi pelaksanaan hukum. Saya kurang pasti kalau pembaca pernah mendengar perisian sumber terbuka atau tidak. Namun, saya harap anda kajinya jika kurang pasti apa yang saya sebutkan.

Dalam dunia perisian, terutamanya sumber terbuka. Banyak perisian mempunyai asal yang sama tapi ditukarkan menjadi entiti yang lain. Contoh mudah adalah WebKit yang menjadi enjin pelayar Apple Safari juga menjadi Google Chrome.

Katakanlah orang itu diluluskan menggunakan Apple Safari, adakah ia tidak boleh membangunkan aplikasi web menggunakan Google Chrome walaupun terasnya adalah sama?

Atau adakah menjadi kesalahan kalau entiti itu dibenarkan membuat web menggunakan Wordpress tetapi dia ingin menggunakan Joomla? Saya tak pasti macamana MOSTI mengklasifikasikannya. Harap kementerian ini dapat menjawabnya.

Bagaimana pula kalau ia perisian baru, sangat bagus. Tetapi tiada satu pun universiti di Malaysia yang mengeluarkan ijazahnya? Adakah dia tidak boleh menggunakannya? Atau kena tunggu 3 tahun, tunggu universiti semak silibus, masuk belajar semula. Selepas habis, daftarkan semula dengan Lembaga?

Ya, kerajaan boleh mengiktiraf institusi dalam dan luar negara. Tetapi berapa lama ia akan mengambil masa?

Itu belum lagi perisian, aplikasi web atau OS yang dihasilkan anak tempatan sendiri tetapi tidak tersenarai dan tiada pun badan yang mengeluarkan sijil pengiktirafannnya lagi.

Ini sedikit sebanyak menambahkan lagi kegusaran dan merencatkan kreativiti anak-anak tempatan yang ada potensi serta bakat.

Tiada yang sempurna

Tiap-tiap perkara ada cacat-celanya. Saya tidak meminta Kementerian menghasilkan undang-undang yang sempurna tetapi biarlah ia menjadi undang-undang yang terbaik sesuai dengan keadaan dan ketikanya.

Pertama sekali, perlunya mekanisma pemeriksaan keberkesanan lembaga. Malah kalau boleh wujudkan tempoh bantahan di mana pihak bukan kementerian boleh mempertikaikan keputusan perlantikan ahli lembaga, seperti ahli parlimen atau NGO.

Keduanya, buat penjelasan terperinci mengenai sijil yang dikeluarkan lembaga dan bagaimana hubungkaitnya dengan sijil-sijil kementerian lain yang ada. Sama ada yang lain tak perlu atau tidak?

Ketiganya, janganlah diadakan bayaran yang tidak munasabah dan terdedah kepada eksploitasi.
Ini kerana banyak perkara yang melibatkan Kerajaan akan dieksploitasi pihak ketiga seperti yang berlaku Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Keempatnya, buka lebih luas cara untuk mendapatkan 'sijil' atau 'lesen' lembaga daripadasekadar mendapatkan pengiktirafan dari institusi pendidikan. Lihat pada merit pencapaian, pengalaman dan sumbangannya dalam bidang ini.

Kami bukanlah kelab yang besar, kami pun tiada 'kabel besar' dengan kementerian. Tetapi kami amat berharap ini diambil berat oleh pihak yang terbabit kerana kami percaya Kerajaan yang baik akan sentiasa responsif kepada rakyatnya.

(Penulis merupakan presiden Kelab Pengguna Sumber Terbuka Malaysia. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.)




Topik berkaitan:

Undang-undang siber di Malaysia

(tajuk berkaitan: Cyber laws in Malaysia)

Protes wikipedia terhadap Stop Online Piracy Act, SOPA telah mengakibatkan seluruh dunia terkesan dengan impak peruntukan undang-undang negara terhadap dunia siber. Di bawah adalah tulisan berkenaan "Undang-undang siber di Malaysia" yang diambil dari tapak asal http://drmsafar.wordpress.com/2009/10/03/undang-undang-siber/ untuk rujukan pengunjung.




Undang-undang Siber
October 3, 2009
4 Okt. 2009

Undang-undang Siber

Ringkasan

Malaysia telah melangkah masuk ke dunia siber melalui dua pendekatan iaitu melalui hard-infrastructure dan soft infrastructure. Hard infrastructure bermaksud membina infrastructure mewujudkan kawasan fizikal untuk pembangunan berkaitan dengan ICT termasuk membina backbone komunikasi yang berkelajuan tinggi. Soft infrastructure bermaksud mewujudkan undang-undang yang berkaitan berkaitan dengan pembangunan ICT itu.

Secara fizikalnya kawasan yang diperuntukkan dikenali sebagai Koridor Raya Multimedia (MSC). Di sinilah tumpuan pembangunan berkaitan dengan ICT dilakukan. Sehingga 19 Jun 2009, sebanyak 87 buah syarikat antarabangsa yang mendapat status “International World Class MSC Malaysia Status Companies”. Manakala sehingga 24 Mei 2005, sebanyak 67 incubators pula mendapat taraf international world Class MSC Malaysia Status Companies. Selain itu, sebahagian besar institusi pengajian tinggi awam dan swasta turut turut tersenarai sebagai institusi yang mempunyai program ICT. (www.mscmalaysia.com.my dirujuk pada 4 Okt. 2009).
Malaysia telah telah meletakkan pada asas yang kukuh pembangunan ICT dengan menyediakan undang-undang. Sebagai permulaan sebanyak lima undang-undang telah digubal dan diluluskan, seperti berikut:

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia1998.
Akta Tandatangan Digital 1997.
Akta Jenayah Komupter 1997.
Akta Teleperubatan 1997.
Secara kolektifnya, undang-undang ini dikenali sebagai undang-undang siber.


Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Akta ini merupakan sendi kepada semua undang-undang siber di Malaysia. Ia menghuraikan mengenai dasar pembangunan ICT bagi negara ini. Dalam akta ini disenaraikan 10 objektif dasar nasional bagi industry komunikasi dan multimedia (Sila rujuk Akta untuk perinciannya, atau buku Mengenali Undang-undang Media dan Siber).

Akta ini juga meletakkan janji Kerajaan mengenai tiada tapisan dalam Internet di bawah Seksyen 3(3).

Berikutan dengan kelulusan Akta ini, sebuah kementerian khas diwujudkan yang memasukkan elemen komunikasi dan multimedia di dalamnya. Kementerian ini pada mulanya dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. (Kini komponen komunikasi di keluarkan dan digabungkan dengan Kementerian Penerangan, bersama dengan komponen Kebudayaan).

Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Akta ini membolehkan ditubuh sebuah suruhanjaya untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan jaringan seperti internet. Ia juga mengambilalih kuasa pelesenan terhadap spectrum penyiaran dan telekomunikasi. Urusan pos juga kini diletakkan di bawah suruhanjaya ini.

Apabila ditubuhkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia diletakkan di bawah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi. Kini ia diletakkan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Beberapa pihak pernah menyarankan supaya komponen komunikasi diletakkan di bawah Kementerian Penerangan. Saya sendiri ada menulis dalam Berita Harian mengenai perkara ini (Jika ia dapat disalin, saya akan pindahkan artikel itu dalam blog ini).

Akta Tandatangan Digital 1997.

Akta ini digubal untuk membolehkan diterima secara sah segala urusan melalui online termasuk penggunaan tandatangan secara digital. Tujuan utamanya ialah untuk melicinkan dagangan secara elektronik, sebagai usaha meningkatkan e-commerce atau e-dagang. Kelulusan undang-undang ini perlu kerana pengesahan dari segi undang-undang adalah sukar untuk melaksanakan dokumentasi secara online.


Akta Jenayah Komputer 1997.
Tujuan utama akta ini ialah untuk melengkapkan undang-undang jenayah khususnya berkaitan dengan jenayah yang dilakukan melalui jaringan komputer. Akta ini memperuntukkan jenis-jenis jenayah dan hukumannya.

Akta Teleperubatan 1997

Akta ini membolehkan para doktor dan pengamal perubatan lain menggunakan jaringan internet untuk menjalankan operasi perubatan dari jarak jauh. Ia memperuntukkan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal perubatan. Akta ini membawa bidang perubatan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi.


Akta Hak Cipta (Pindaan).
Akta ini memasukkan unsur-unsur yang berkaitan dengan hakcipta dalam Akta induk. Ini bermakna apa-apa hasil karya yang dilakukan di dalam dan melalui internet adalah terlindung di bawah Akta Hakcipta.

Rujukan

  1. Mohd Safar Hasim. 2002. Mengenali Undang-undang Media dan Siber.
  2. www.mscmalaysia.com.my (ditujuk 4 Okt. 2009).