Baru-baru ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengeluarkan draf Akta Lembaga Jurukomputer Profesional 2011.
Draf ini mengejutkan banyak pihak. Rata-rata mereka menyangka jika ia berjaya menjadi akta, pengamal komputer atau teknologi maklumat (IT) akan diwajibkan mendaftar diri atau entiti bersama lembaga yang akan ditubuhkan.
Tidak kurang juga yang tersalah baca draf sehingga menyangka, mereka yang tidak mempunyai 'lesen' atau 'sijil' dari lembaga ini tidak boleh melakukan kerja IT, termasuklah membaiki komputer, menjualnya atau membuat pengaturcaraan.
Sikap kementerian yang mengeluarkan hanya versi draf bahasa Inggeris sahaja memburukkan lagi salah faham. Apatah lagi yang membaca itu kurang mahir dengan bahasa itu dan dicampur pula bahasa perundangan. Sedangkan parlimen akan membekalkan dokumen rang undang-undang, aturan mesyuarat atau usul dalam dwi-bahasa.
Bola salah tafsiran ini akhirnya bergumpal dan menjadi besar.
Apa hajat MOSTI?
Akibat dari kepelbagaian pandangan berkaitan, MOSTI akhirnya membuat Hari Terbuka Lembaga Jurukomputer Malaysia (BCPM) pada 13 Disember bagi mendapatkan input dari pengamal dalam industri ini. Maka salah fahan dan kekeliruan dapat diperbetulkan sedikit sebanyak.
BCPM yang bakal ditubuhkan nanti akan mengiktiraf pihak yang mahir dalam bidang ini dan diberikan beberapa kelebihan tertentu, termasuklah kerja-kerja yang berkaitan Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) dan beberapa bidang kerja berkaitan kerajaan.
Kalau arkitek mempunyai Lembaga Arkitek Malaysia, kalau jurutera ada Lembaga Jurutera Malaysia. Kenapa tidak kita ada lembaga yang serupa bagi bidang komputer?
Saya dan rakan-rakan tiada masalah mengiktiraf cerdik pandai di Malaysia. Namun dalam draf ini, beberapa perkara agak merunsingkan kami.
Menjurus pada kronisme
Jika dirujuk pada draf, ada dua keadaan yang boleh menjerumus kepada kronisme:
Kuasa menteri untuk menggantung akta ini dari sebahagian tempat di Malaysia atau menggantung sebahagian pecahan dalam akta.
Kuasa mutlak menteri untuk melantik ahli lembaga.
Senario yang mungkin timbul, apabila wujud keadaan di mana seseorang ingin mendapatkan kerja yang berkaitan CNII namun tiada kelayakan, pelepasan boleh diberikan dengan dengan kuasa Menteri.
Pemilihan ahli lembaga juga boleh jadi berat sebelah - walaupun ada dipilih dari kalangan kerajaan dan bukan - kepada dukungan parti politik tertentu atau apa-apa dukungan yang tersasar dari matlamat asal penubuhan lembaga.
Kerja-kerja yang berkaitan dengan CNII sudah semestinya mempunyai jutaan nilai ringgit, orang perseorangan yang mendaftarkan diri sebagai profesional agak tidak mampu mendapatkannnya. Tetapi, kalau anda ada syarikat besar, ada 'kabel' kuat, senario ini tidak mustahil berlaku.
Bertambah buruk lagi kalau tender atau kerja yang dikeluarkan ini bawah MOSTI, bukan agensi kerajaan lain.
Jangan sampai kering darah
Kalau kita sudah membeli kereta, tidak semestinya kita boleh memandunya. Kena ambil lesen, keluar duit. Sudah ada lesen, kena bayar tol, cukai jalan, insurans maka bertambahlah duit yang melayang sampai sesak nafas.
Sebab itu Malaysia ada istilah cekik darah.
Di Malaysia, sudah banyak benda yang perlu diambil untuk menjadikan seseorang atau syarikat itu layak membuat kerja-kerja berkaitan komputer. Dua contoh yang paling besar adalah berdaftar dengan Kementerian Kewangan atau mendapatkan status MSC.
Itu belum campur kos untuk masuk tender, 'duit gula-gula', 'duit main golf' dan kos-kos lain.
Tetapi, dengan adanya segala macam ini. Benarkah kita mampu hasilkan negara berpendapatan tinggi, negara yang terhebat dari sudut infrastruktur IT?
Kalau anda mahir dalam bidang komputer, anda akan tergelak dengan sekuriti server milik agensi kerajaan. Nokhtah.
Saya khuatir, pelaksanaan akta ini hanya akan menjadi satu lagi alat manipulatif kerajaan untuk mencari punca pendapatan tambahan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat yang terbanyak akan menerima kesan ketara sampai kering darahnya!
Jejas kreativiti
Dunia komputer atau IT tak sama dengan dunia arkitek atau binaan. Bangunan mungkin boleh guna 100 tahun malah Piramid beribu-ribu tahun pun boleh tahan!
IT ini ibarat susu, esok lusa sudah basi. Dulu anda mungkin berlagak gunakan DVD. Sekarang orang dah pakai cakera keras luaranyang mencecah saiz 1.5TB. Dahulu mungkin anda rasa 1GB RAM itu banyak, tetapi sekarang 8GB pun masih belum puas.
Beberapa klausa dalam draf ini tidak membenarkan anda menjalankan aktiviti yang terkeluar dari bidang yang diluluskan, kalau anda melaksanakan kerja yang memerlukan pensijilan lembaga.
Malah anda memerlukan pengiktirafan dari badan-badan yang diluluskan kementerian sebelum boleh mendapat pensijilan bidang-bidang ini.
Ini sebenarnya agak kaku dan keras dari segi pelaksanaan hukum. Saya kurang pasti kalau pembaca pernah mendengar perisian sumber terbuka atau tidak. Namun, saya harap anda kajinya jika kurang pasti apa yang saya sebutkan.
Dalam dunia perisian, terutamanya sumber terbuka. Banyak perisian mempunyai asal yang sama tapi ditukarkan menjadi entiti yang lain. Contoh mudah adalah WebKit yang menjadi enjin pelayar Apple Safari juga menjadi Google Chrome.
Katakanlah orang itu diluluskan menggunakan Apple Safari, adakah ia tidak boleh membangunkan aplikasi web menggunakan Google Chrome walaupun terasnya adalah sama?
Atau adakah menjadi kesalahan kalau entiti itu dibenarkan membuat web menggunakan Wordpress tetapi dia ingin menggunakan Joomla? Saya tak pasti macamana MOSTI mengklasifikasikannya. Harap kementerian ini dapat menjawabnya.
Bagaimana pula kalau ia perisian baru, sangat bagus. Tetapi tiada satu pun universiti di Malaysia yang mengeluarkan ijazahnya? Adakah dia tidak boleh menggunakannya? Atau kena tunggu 3 tahun, tunggu universiti semak silibus, masuk belajar semula. Selepas habis, daftarkan semula dengan Lembaga?
Ya, kerajaan boleh mengiktiraf institusi dalam dan luar negara. Tetapi berapa lama ia akan mengambil masa?
Itu belum lagi perisian, aplikasi web atau OS yang dihasilkan anak tempatan sendiri tetapi tidak tersenarai dan tiada pun badan yang mengeluarkan sijil pengiktirafannnya lagi.
Ini sedikit sebanyak menambahkan lagi kegusaran dan merencatkan kreativiti anak-anak tempatan yang ada potensi serta bakat.
Tiada yang sempurna
Tiap-tiap perkara ada cacat-celanya. Saya tidak meminta Kementerian menghasilkan undang-undang yang sempurna tetapi biarlah ia menjadi undang-undang yang terbaik sesuai dengan keadaan dan ketikanya.
Pertama sekali, perlunya mekanisma pemeriksaan keberkesanan lembaga. Malah kalau boleh wujudkan tempoh bantahan di mana pihak bukan kementerian boleh mempertikaikan keputusan perlantikan ahli lembaga, seperti ahli parlimen atau NGO.
Keduanya, buat penjelasan terperinci mengenai sijil yang dikeluarkan lembaga dan bagaimana hubungkaitnya dengan sijil-sijil kementerian lain yang ada. Sama ada yang lain tak perlu atau tidak?
Ketiganya, janganlah diadakan bayaran yang tidak munasabah dan terdedah kepada eksploitasi.
Ini kerana banyak perkara yang melibatkan Kerajaan akan dieksploitasi pihak ketiga seperti yang berlaku Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Keempatnya, buka lebih luas cara untuk mendapatkan 'sijil' atau 'lesen' lembaga daripadasekadar mendapatkan pengiktirafan dari institusi pendidikan. Lihat pada merit pencapaian, pengalaman dan sumbangannya dalam bidang ini.
Kami bukanlah kelab yang besar, kami pun tiada 'kabel besar' dengan kementerian. Tetapi kami amat berharap ini diambil berat oleh pihak yang terbabit kerana kami percaya Kerajaan yang baik akan sentiasa responsif kepada rakyatnya.
(Penulis merupakan presiden Kelab Pengguna Sumber Terbuka Malaysia. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.)
Topik berkaitan:
No comments:
Post a Comment