.
Terdapat dua jenis laptop yang dijual oleh kebanyakan jenama laptop seperti ACER, DELL, LENOVO dan lain-lain iaitu Windows Laptop dan Chromebook. Apa beza keduanya ini?
.
Perbezaaan utama bagi kedua-dua jenis komputer peribadi ini adalah dari segi sejarah dan konsep kewujudannya.
.
Windows Laptop adalah laptop yang telah dipasang perisian sistem Windows. Dalam bahasa yang mudah, apabila pengguna menghidupkan laptop, beliau akan nampak perkataan Windows ataupun antaramuka yang mempunyai logo Windows seperti di bawah.
.
.Jika diperhatikan dalam gambar di atas, logo ini terdiri dari pelbagai versi dan wujud semenjak tahun 1985. Dalam kata lain Sistem Windows telah wujud seawal tahun 1985. Perisian Windows adalah perantara di antara manusia dan komputer di mana ia digunakan untuk memudahkan pengguna melakukan tugas-tugas asas perkomputeran seperti menaip teks ringkas, menyimpan dokumen elektronik, menyusun jadual kalendar dan sebagainya.
.
Bagi tugas yang lebih komplikated, pengguna perlu memasang aplikasi tambahan seperti WordStar untuk menyediakan dokumen teks, Lotus123 untuk lembaran kerja dan lain-lain seumpamanya. Kebanyakan kerja dilakukan secara offline iaitu tanpa sambungan ke Internet.
.
Internet dibuka kepada akses awam pada tahun 1995. Serentak dengan itu Windows dikemaskini dengan versi Windows95. Bagaimanapun, untuk mengakses Internet, pengguna perlu memasang aplikasi tambahan iaitu Internet Explorer. Kemudiannya muncul aplikasi alternatif untuk melayari Internet seperti Firefox, Chrome, Opera dan lain-lain.
.
Apa yang dapat diperhatikan di sini, jika anda mahu menggunakan Internet, sesebuah laptop perlu mempunyai sekurang-kurangnya 2 perisian iaitu 1)Perisian Sistem ie Windows dan 2)Perisian Aplikasi ie Internet Explorer.
.
Perisian Windows sebenarnya bukan percuma. Ia dijual dengan harga tertentu dan berbeza mengikut jenis dan versinya. Cuma, mungkin pembeli komputer tidak perasan tentang kos ini kerana perisian Windows telah dipakejkan ke dalam laptop lalu harga yang dibayar untuk laptop itu sudah termasuk harga perisian itu sekali.
.
Di sini ada 2 isu.
1) Perlu pasang 2 perisian untuk akses Internet.
2) Perlu bayar harga perisian Windowss.
.
Pada tahun 2011, Google cuba menampilkan konsep baru di mana pengguna hanya perlukan satu perisian sahaja untuk terus akses ke Internet dan perisian ini diedarkan secara percuma melalui pembelian laptop. Dari sini terhasillah perisian Chrome OS. Manakala laptop yang terpasang di dalamnya Chrome OS dipanggil Chromebook.
.
Kelebihan Chromebook:
1) Pengguna hanya perlu guna satu aplikasi sahaja untuk akses Internet. Ia lebih mudah untuk difahami dan digunakan terutamanya bagi anak-anak kecil. Tidak perlu faham apa itu Windows dan Browser.
2) Chrome adalah percuma. Secara teorinya, pengguna hanya melabur untuk kos perkakasan laptop sahaja.
.
Kelemahan Chromebook:
1) Setakat ini tidak semua aplikasi yang ada dalam Windows boleh dijalankan melalui Chromebook. Aplikasi yang lebih komplikated seperti penyuntingan multi media perlukan sistem Windows untuk menjalankannya.
2) Laptop Chromebook pada umumnya mempunyai perkakasan dan kuasa pemprosesan yang lebih rendah berbanding Laptop Windows. Ini adalah untuk meminimakan harga jualannya supaya lebih ekonomik.
.
Bagi keluarga yang mahu membeli komputer peribadi bagi kegunaan pembelajaran anak-anak, Chromebook ini mempunyai kelebihan tambahan:
1) Ia hanya mempunyai aplikasi asas. Anak-anak tidak akan tersasar guna ke arah lain seperti penyuntingan multimedia atau permainan video game.
Walaupun begitu, anak-anak masih terdedah pada risiko tersasar guna melalui aktiviti perayauan Internet, sembang media sosial atau permainan online. Di sini, ada satu lagi kelebihan Chromebook.
2) Ia boleh dikawal penggunaannya melalui aplikasi seperti Google's Family Link app.
.
Kesimpulannya, Chromebook adalah laptop yang berkuasa rendah, sesuai untuk tugasan berkaitan dengan Internet dan untuk pembelajaran anak-anak.
.