Auto-generate Flow Chart from Java/C++ Codes:

Raptor Flowchart Tutorial For Beginners

Wednesday, May 31, 2017

Nostalgia komputer

Anda mungkin tidak pernah melihat komputer seperti ini yang menggunakan pemain kaset dan skrin tv rumah untuk berfungsi.
.
Nostalgia komputer
Saya mula mengenali perkataan komputer seawal zaman sekolah rendah di tahun 80an. Kebetulan, saya menghadiri kelas tuisyen Cikgu Zahur di Alor Setar. Di pejabatnya ada komputer. Di ruang rehat pula, ada sejenis mesin permainan video bernama Atari. Walaupun Sistem Atari itu tidak sama seperti sistem komputer pada hari ini, ia cukup untuk memberi gambaran ringkas komponen komputer iaitu CPUkeyboard dan skrin tv.
Sistem Atari itu menjadi rebutan pelajar-pelajar tuisyen ketika masa rehat. Yang tidak berpeluang bermain akan tumpang menonton sama. Maklumlah, ketika itu permainan video seperti ini masih asing dan tidak mampu dimiliki oleh semua orang. Kalau pun tidak dapat bermain, dapat bercerita tentangnya di sekolah sudah memadai untuk menjadi satu kebanggaan.
        Saya sendiri teruja apabila melihat bagaimana alat tersebut boleh berinteraksi dengan manusia. Kadang-kadang apabila berbual dengan rakan-rakan tuisyen yang lebih berada dan mempunyai komputer di rumahnya, saya bertanya betulkah komputer itu boleh berfikir dan menyelesaikan masalah. Barangkali saya terpengaruh dengan siri tv Riptide. Dalam siri tersebut terdapat watak seorang programmer yang banyak membantu menyelesaikan kes siasatan jenayah dengan menggunakan komputer.
Ada yang secara berseloroh memberitahu saya memang komputer itu boleh berfikir dan mampu membuat ramalan. Tanpa berfikir panjang, apabila pulang dari tuisyen, saya meminta mereka bertanya kepada komputer adakah Pasukan Bola Sepak Negeri Kedah boleh menjuarai kejohanan Liga Bola Sepak Malaysia pada tahun 1987. Kata komputer, Ya. Malangnya ramalan itu tidak tepat. Agak lucu juga jika dikenang kembali kerana saya tidak tahu bagaimana sebenarnya mereka “bertanya kepada komputer”. Lurus bendul, kata orang.
Pada penghujung tahun 1987, saya berpeluang berjalan-jalan di Kuala Lumpur dan menumpang di rumah kakak dan abang yang tinggal di sana. Abang saya seorang jurutera. Di rumahnya, saya terjumpa dengan satu lagi mesin komputer rumah yang agak canggih di zaman itu iaitu Sinclair ZX Spectrum keluaran Syarikat UK.
Pada ketika ini, mesin seperti ini hanya digunakan di rumah untuk tujuan hobi atau memenuhi rasa ingin tahu. Siapa sangka alat yang mempunyai keyboard ini akhirnya menyerbu masuk dunia pejabat di tahun 90an dan menyingkirkan mesin taip sekaligus melenyapkan fungsi jurutaip (typist) di kemudian hari.

Mesin Sinclair ZX Spectrum ini menggunakan kaset sebagai media simpanannya. Ya, kaset juga adalah sejenis media simpanan yang telah pupus. Zaman 80an, kasetlah yang membantu menyebarkan lagu-lagu Sudirman, Alleycats, Sweet Charity dan lain-lain.
Apabila Compact Disc (CD) diperkenalkan, sebahagian peminat muzik beralih kepada media tersebut kerana kualitinya lebih baik. Namun, bagi yang mahu menjimatkan kos, kaset masih menjadi pilihan kerana harganya yang dua atau tiga kali ganda lebih murah. Agak lucu juga apabila ada kumpulan muzik tempatan iaitu 4U2C menjadikan CD sebagai identiti mereka.
Bagaimanapun, edaran CD dan kaset mula terjejas teruk di sekitar tahun 2000 apabila format digital MP3 diperkenalkan. Lagu-lagu boleh disimpan dan dipindahkan dengan mudah ke dalam komputer sehingga pengguna tidak perlu membeli CD dan kaset lagi. CD masih mampu bertahan. Tetapi kaset mula pupus semenjak itu.
Nostalgia Atari, Riptide, Kaset, CD, MP3 dan lain-lain merupakan antara yang tidak dapat dilupakan ketika generasi saya mula mengenali komputer dan mengadaptasinya ke dalam kehidupan seharian. Jika anda pernah menonton filem Pixels (2015), ia satu flash back yang agak menarik tentang hal ini.
Komputer itu kadangkala digelar Disruptive Technology iaitu teknologi yang boleh mengubah cara hidup manusia. Bayangkan kanak-kanak zaman saya yang biasa bermain police sentry telah dikejutkan dengan permainan PacMan dan Space Invaders. Lebih malang lagi, bayangkan penyanyi dan pemuzik yang hilang pendapatan akibat berleluasanya gejala MP3 copy-paste.
Kesimpulannya, teknologi komputer itu sentiasa berubah dan berkembang. Ia bukan sahaja mempengaruhi cara manusia bekerja, malah ia turut mempengaruhi cara manusia bermain dan berhibur. Sifat Disruptive Technology yang datang bersama komputer ini wajar kita berikan perhatian. Tidak mustahil gaya hidup kita akan berubah malah kita mungkin berisiko hilang punca pendapatan akibat perubahan teknologi.
.

2 comments:

Natrah Mohamed said...

Wahhh. Nostalgia betul entri ni. Hahaha. Saya tak sempat atau tak tau kewujudan komputer ni. Mudakah saya? 😂

admin said...

Muda belia maknanya tu.