Auto-generate Flow Chart from Java/C++ Codes:

Raptor Flowchart Tutorial For Beginners

Showing posts with label history. Show all posts
Showing posts with label history. Show all posts

Sunday, November 25, 2012

Notes On The History Of ARPAnet By NotaRazi



Nota Tentang Sejarah ARPAnet oleh NotaRazi

Perintis Internet

Teknologi Komunikasi Maklumat melalui Internet mula dirintis seawal tahun 1960. Seorangg saintis bernama JCR Licklider menulis rencana tentang Simbiosis Manusia dan Komputer - bagaimana manusia menggunakan komputer sebagai perantara komunikasi dalam perbualan harian.
Seterusnya, teori Packet Switching diperkenalkan oleh Leonard Kleinrock dalam tahun 1961. Teori ini mengesyorkan bahawa maklumat yang hendak dihantar dipecahkan kepada paket-paket data yang kecil. Paket-paket ini akan diberi penanda lokasi penghantar dan penerima. Apabila paket-paket ini melalui saluran komunikasi, peranti penala (router device) akan membaca lokasi penerima dan menalakan paket ini ke laluan yang menuju ke lokasi penerima. Apabila semua paket tiba ke destinasinya, paket-paket ini akan dicantumkan semula mengikut nombor sirinya.
Pada tahun 1965, seorang saintis yang bekerja dengan Advanced Research Project Agency America (ARPA), Robert Taylor, dengan bantuan Larry Robert dari Massachusets Institute Of Technology (MIT) menjayakan Teori Packet Switching melalui mesin ciptaan mereka, Interface Message Processor (IMP).
Pada tahun 1968, Berdasarkan rekabentuk IMP yang direka saintis tadi, ARPA telah menyerahkan tugas pembinaan kepada kontraktor BBN IMP. Apabila siap rangkaian perhubungan ini akan dikenali sebagai ARPA Network atau ARPAnet.
Pada tahun 1969, rangkaian perintis ARPAnet siap dibina menghubungkan 4 universiti Amerika Syarikat.
ARPAnet berfungsi sebagai infrastruktur kepada rangkaian Switched Packet Data (Paket Data Bersuis). Melalui ARPEnet beberapa perkidmatan perkongsian maklumat telah dicipta, antaranya:
1) Email - perkhidmatan surat elektronik (1971)
2) TelNet - perkhidmatan penggunaan sumber komputer jarak jauh (remote) (1972)
3) File Transfer Protocol, FTP - Perkhidmatan pemindahan fail secara lambak (bulk). (1973)
Olehkerana teknologi rangkaian ARPAnet masih baru, penyelidik berkongsi maklumat cadangan penambahbaikan protokol komunikasi di dalam dokumen yang dipanggil Request For Comment (RFC).
Pada tahun 1974, Protokol Ethernet telah diperkenalkan oleh seorang pelajar Harvard, Bob Metcalfes dalam kertas kajian “Packet Networks”. Kebanyakan rangkaian komputer pada hari ini menggunakan Protokol Ethernet. Melalui Ethernet, semua peranti disambungkan ke Wiring Hub[1]. Hub adalah sejenis peranti yang mempunyai lubang bagi suis kabel. Apabila kabel rangkaian yang menepati piawai Ethernet dicucuk ke lubang ini, mesin atau peranti komputer yang dihubungkannya akan dapat berhubung dengan mesin-mesin lain yang tersambung pada hub tadi.
Pada tahun 1981, satu protokol yang menggabungkan kaedah penghantaran paket data dan pengecaman komputer hos di dalam rangkaian telah diperkenalkan dengan nama TCP/IP[2]. Melalui kaedah ini setiap komputer hos mengecam komputer hos yang lain melalui nombor ip dan berinteraksi dengan aplikasi atau servis melalui nombor port[3].
Secara teorinya, sesebuah komputer memiliki sebanyak 65536 Port[4]. Secara praktisnya, badan piawai seperti IANA telah menetapkan nombor Port untuk aplikasi tertentu.
Dengan tersedianya kemudahan teknologi dan protokol yang lebih tersusun, proses mewujudkan rangkaian komputer menjadi lebih kemas. Pada tahun 1985, Kerajaan Amerika Syarikat telah membiayai projek National Science Foundation network. Rangkaian ini sangat besar dan ia turut melibatkan rangkaian komputer universiti dan ARPAnet. Di sinilah bermulanya istilah INTERNET[5]
Pada tahun 1989, ARPAnet ditamatkan[6]. Walaupun rangkaian ini tidak kekal selamanya, ia telah menjadi model kepada tertubuhnya Internet. Dengan tertubuhnya Internet, pelbagai perkhidmatan perkongsian data dapat diwujudkan termasuklah perkhidmatan yang amat penting pada hari ini iaitu World Wide Web atau WEB. WEB diperkenalkan oleh Tim Berners Lee di Switzerland pada tahun 1990.
Rujukan:

Notes On Internet History In Malaysia



Nota Sejarah Internet Di Malaysia

Disalin dari: http://ptmk.ump.edu.my/index.php/artikel/69-telekomunikasi/198-sejarah-internet-malaysia.html


SEJARAH INTERNET

Internet merupakan satu rangkaian sedunia komputer yang tersambung  menerusi talian telefon, gentian  optik, teknologi tanpa wayar seperti 3G,WIMAX,EDGE dan WIFI.
Asal-usul internet bermula semasa Perang Dingin. Satu rangkaian telah dicipta untuk menghubungkan semua komputer tentera di sekitar Amerika Syarikat supaya sekiranya tercetus serangan nuklear, peralatan tentera Amerika Syarikat masih dapat berfungsi. Mesin-mesin ini disambungkan melalui talian telefon. Dua mesin pertama telah berjaya disambungkan pada akhir tahun 1969.
Dalam 15 tahun pertama selepas terciptanya rangkaian ini, tapak yang tersambung hanyalah tapak-tapak tentera dan akademik. Pelbagai rangkaian telah didirikan termasuk ARPAnet yang menyambungkan universiti.universiti di Amerika Syarikat dan MILnet yang menyambungkan pangkalan-pangkalan tentera. ARPAnet (Advanced Research Project Agency) adalah salah satu bahagian Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat turut menghasilkan kaedah pensuisan paket (packet swiching) bagi menghubungkan pelbagai jenis komputer.
Menjelang tahun 1970, rangkaian komputer yang pertama menggunakan teknik pensuisan paket di Amerika Syarikat telah menghubungkan sistem komputer di University of California di Los Angeles (UCLA), University of California di Santa Barbara (UCSB), Stanford University dan University of Utah di Salt Lake City.

Pada 1972, terdapat 40 tapak rangkaian yang kecil dihubungkan kepada rangkaian ARPAnet. Ketika itu, rangkaian ini digunakan untuk menghantar fail teks yang kecil di antara pengguna. Kini ia lebih dikenali sebagai E-Mail dan semakin popular digunakan.

Pada awalnya piawai komunikasi yang asal dikenali sebagai NCP "Network Control Protocol". Setelah mengkaji teknik yang lebih canggih piawai kualiti tinggi digunakan iaitu TCP/IP .TCP (Transmission Tranfer Protocol) dimana ia akan mengubah mesej kepada bentuk paket di sumber dan kemudiannya akan mengubah semula kebentuk mesej di destinasi. IP (Internet Protocol) pula mengendalikan alamat. ARPA bukan sahaja mempelopori NCP malah Ethernet, FDDI dan X.25.

Pada tahun 80-an, rangkaian-rangkaian ini mula disambungkan secara komersial. Kita boleh mengunjungi dari satu rangkaian ke satu rangkaian yang lain dan pada masa inilah istilah "internet" mula digunakan.
Pada masa itu juga, perkhidmatan internet capaian awam mula diwujudkan. Sehingga 1990, internet lebih banyak digunakan dalam bidang penyelidikan saintifik. Apabila penggunaan internet oleh komuniti saintifik semakin berleluasa, orang awam juga mula menyedari potensi internet sebagai sejenis medium komunikasi, hiburan dan pendidikan sedunia. Walaupun dimulakan sebagai sebuah rangkaian ketenteraan, kini terbuktilah internet mempunyai banyak kegunaan lain.
Jika dilihat dahulu, hanya terdapat 4 nod sahaja dalam rangkaian ARPAnet. Tetapi kini terdapat 10 ribu nod dalam internet, yang tersebar melebihi 42 negara seluruh dunia. Pada hari ini, terdapat lebih daripada 40 juta pengguna internet di seluruh pelusok dunia.
Di Malaysia internet dilancarkan pada tahun 1987 apabila Institut Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) memulakan Rangkaian Komputer Malaysia atau RangKom. Kemudian Jaring yang diperkembangkan daripada RangKom dilancarkan pada tahun 1990.
SEJARAH RINGKAS INTERNET DI MALAYSIA
Pada tahun 1987, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan. Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringkat awal. Ianya terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya.
Berdasarkan kepada pengalaman ini, program JARING telah dirumuskan, dan ianya dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING.
MIMOS yang dikenalikan oleh 5  pakar komputer iaitu Dr  Mohd Azzman UM, Dr Awang Lah UM, Dr Muhammad Ghazie Ismail (USM), Dr Mohd Arif Nun (UTM),  Dr Mohd Zawawi Ismail (UTM) mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-Enam. JARING yang dihubungkan dengan banyak institusi penyelidikan dan akademik, serta agensi kerajaan dan swasta di Malaysia, bermatlamatkan terutamanya untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersial. JARING juga dihubungkan kepada rangkaian Internet antarabangsa.
Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian suwa ini menggantikan talian X.25 awam dan dail yang tidak lagi kos efektif setelah meningkatnya bilangan pengguna dan tahap penggunaan JARING. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian.
Pada bulan Jun 1994, JARING bergerak dengan lebih cemerlang lagi dan Internet boleh diakses melalui nodnya yang ditempatkan di seluruh negara. Nod JARING pada masa tersebut ditempatkan di 16 buah bandar utama di Malaysia, iaitu di Damansara, Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, dan Kuala Lumpur. Ini membolehkan lebih ramai pengguna mencapai JARING/Internet dengan panggilan telefon tempatan. Rangkaian JARING turut boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari
Singapura, Brunei, dan Thailand.
Dari segi perkembangan keahlian JARING/Internet pula, sebanyak 27 organisasi dan jabatan kerajaan telah menjadi ahli pada awal tahun 1992. Lebih 200 pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992. Keahlian JARING dikategorikan kepada pelajar, orang perseorangan dan organisasi. Orang perseorangan dan pelajar hanya boleh mengakses Internet melalui talian dail sahaja, sementara organisasi boleh mengakses melalui talian dail atau litar suwa. Keahlian JARING di sepanjang tahun 1994 meningkat kepada 1,693 ahli individu dan 254 syarikat.
Dalam tahun 1995 pula, JARING ditingkatkan keupayaan bagi menampung pertambahan keahlian dan penggunaan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik. Tumpuan utama ialah mengukuhkan prasarana tulang belakang JARING melalui tambahan nod, talian di antara nod, dan peningkatan kelajuan beberapa talian suwa serta bilangan talian dail.
Dalam tahun 1995 juga talian yang menghubungkan nod-nod di Pulau Pinang dan Johor Bahru telah ditingkatkan kelajuannya dari 64Kbps kepada 2.048Mbps. Sehingga akhir tahun 1995, lebih 1,000 talian untuk pengguna talian dail telah disediakan. Sebanyak 40 nod baru telah dipasang dalam tahun 1996 sebagai tambahan kepada 21 nod pada tahun sebelumnya.
Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 disamping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah. Sepanjang tahun 1995 pertumbuhan peningkatan keahlian JARING bertambah pada kadar purata 22% sebulan. Melalui Rancangan Malaysia Ke-7, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara yang menggunakan JARING sebagai prasarana tulang belakang.
Untuk membuka peluang yang lebih luas kepada umum, JARING telah memeteraikan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat Pembekal Perkhidmatan Akses JARING (JASP) pada 1 Ogos 1996. Ia memudahkan orang ramai mendapat khidmat sokongan bagi mengakses Internet.
Seterusnya, pada tanggal 7 November 1996 JARING telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Asia Internet Holding (AIH) dari Jepun bagi mempertingkatkan perkhidmatan Internet untuk pengguna tempatan dan Asia Pasifik. Rangkaian yang dinamakan JARING-A-Bone ini memudahkan pengguna Internet menghubungi halaman web di rantau Asia. Hubungan tersebut menyediakan akses lebih cepat dan secara terus bagi pengguna kepada negara-negara Asia yang dihubungkan dengan A-Bone. Pada bulan Mei 1997, JARING mula menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang meliputi lebih 150 negara.
Pada 11 Jun 1997, JARING menempa sejarah dengan pemasangan talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET 97. Selanjutnya pada akhir tahun 1997, jumlah keahlian JARING meningkat melebihi 100,000 orang dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang.
Bagi menampung pengguna yang semakin meningkat dan semakin memerlukan perkhidmatan terbaik, maka pada 1 November 1996, Telekom Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet, sebagai Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) kedua Malaysia setelah mendapat lesen daripada pihak kerajaan.
Penggunaan Internet dijangka akan terus berkembang dengan cepatnya sebagai media komunikasi multimedia utama dunia yang akan membawa kita semua ke alaf ke 21. Kita amat bertuah kerana telah dapat mengenalpasti potensi Internet lebih 10 tahun dahulu berbanding dengan negara lain di rantau ini.
Apa itu JARING?
JARING adalah rangkaian komputer yang telah dibangunkan oleh MIMOS Berhad, Malaysia yang menghubungkan kepada rangkaian yang lain di serata dunia melalui talian sewaan disambungkan ke Amerika Syarikat/Kanada, Jepun dan Singapura. Kesemua rangkaian ini membentuk rangkaian komunikasi data yang besar dikenali sebagai "internet".
Objektif
1. Untuk menubuhkan rangkaian komunikasi data bersepadu.
2. Bagi meningkatkan aktiviti R&D.
3. Mempelajari dan menguji penggunaan teknologi komunikasi data dan kesan kepada aktiviti sosio-ekonomi.
Kenyataan projek
1. Menghubungkan internet secara global.
2. Pada kos yang termampu dan berpatutan.
3. Merangkumi rangkaian antarabangsa.
4. Tujuan menukar maklumat dan perkembangan lain.
5. Pembelajaran secara kreatif dan inovatif, penyelidikan dan aktiviti perniagaan.
6. Mempelopori dan membentuk masyarakat yang berinformasi.
Topologi (nod JARING)
Nod pensuisan JARING telah ditempatkan dikebanyakan bandar besar di Malaysia - Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Seremban, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Kota Kinabalu.
Di dalam kawasan Lembah Klang, nod-nod ditempatkan di Damansara, Brickfields, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Kajang dan Bangi.

PEMBANGUNAN JARING
Dengan meningkatnya minat dan publisiti tentang Internet di Malaysia sejak kebelakangan ini, Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi maklumat tentang arah-tuju pembangunan perkhidmatan Internet.
Pada hari ini, Kerajaan Malaysia melalui MIMOS adalah satu-satunya pembekal perkhidmatan penuh Internet di Malaysia - meliputi capaian dalam dan luar negeri dan kemudahan perkhidmatan nilai-tambah untuk pengguna komersial dan bukan-komersial. JARING ialah nama rangkaian Internet di Malaysia. Pengguna boleh mencapai JARING/Internet melalui talian dail, talian litar suwa sama ada jenis analog atau digital dan juga capaian melalui ISDN. JARING akan terus menggunakan teknologi terbaik untuk faedah pengguna Internet di Malaysia.
Kerajaan akan terus meningkatkan kawasan liputan perkhidmatan JARING di seluruh negara untuk menentukan kesamaan capaian dengan kos yang termampu untuk penduduk di dalam dan luar bandar. Rangkaian ini akan disepadukan sepenuhnya dengan pembangunan Bandaraya Bistari Putrajaya dan "Multimedia Supercorridor".
Keupayaan talian tulang belakang JARING akan juga diperkembangkan untuk menyokong aplikasi baru. Litar yang sedia ada sepanjang hampir 5,000 km dengan kelajuan 64, 128, 256, 512, 768 atau 1,536 kbps (bergantung kepada kawasan liputan) akan dipertingkatkan sehingga beberapa megabit sesaat (mbps) mengikut keperluan. Beberapa litar mungkin berkelajuan melebihi 100 mbps. Rangkaian tulang-belakang berkelajuan tinggi diperlukan untuk menyokong aplikasi multimedia untu transaksi komersial, pendidikan jarak jauh, perkhidmatan kesihatan dan pentadbiran kerajaan.

Dengan wujudnya aplikasi terbaru ini nanti, rangkaian kita akan menjadi setaraf, kalau tidak lebih baik, berbanding dengan rangkaian yang serupa di negara yang lebih maju.
JARING adalah satu-satunya rangkaian Internet di Malaysia yang mempunyai `gateway' antarabangsa untuk sambungan kepada rangkaian yang serupa di negara lain di seluruh dunia. Sambungan sekarang ialah melalui Amerika Syarikat menggunakan talian gentian optik berkelajuan tinggi. Satu talian baru yang berasingan sedang dirancangkan untuk memperkukuhkan sambungan peringkat antarabangsa.

DARI KILOBIT KE TERABIT
Jika kita imbas kembali bagaimana teknologi Internet dimulakan di Malaysia, maka kita akan mendapati bahawa teknologi Internet ini mulai dicuba pada tahun 1983/84. Pada masa itu hanya terdapat sebuah komputer mini sahaja, dengan lebar jalur (bandwidth) 0 bit. Pada tahun 1987, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan. Kelajuan pemindahan data ialah 1.2 hingga 9.6 kbps. Walaupun demikian, natijah terpenting ialah asas jaringan Internet mula bertapak di Malaysia.
Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64 kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian ini mengambil masa dua tahun sebelum menjadi sesak dengan jumlah pengguna yang semakin bertambah. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64 kbps. Peningkatan keupayaan ini dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian. Ia cuma bertahan selama setahun sahaja apabila lebar jalur tersebut turut penuh.
Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 di samping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah. Pada 11 Jun 1997, JARING menempa sejarah dengan pemasangan talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps ke Amerika Syarikat yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET97. 
Tahun                         Bandwidth
1987                           1.2 – 9.6 kbps
14 NOV 1992               64 kbps
29 NOV 1994               1.5 Mbps
1995                           1.536 Mbps
1995                           2.048 Mbps
1997                          34 Mbps
11 JUN 1997               45 Mbps
OGOS 1999                 60 Mbps
Jika dibuat perbandingan terhadap teknologi lebar jalur yang semakin berkembang, maka kita akan dapati teknologi ini semakin meningkatkan kadar pemindahan data. Sekarang ini, pengguna rumah menyambungkan Internet melalui komputer peribadi (PC) dan talian telefon. Ini juga bermakna kebanyakan sambungan Internet di rumah adalah perlahan. Bagi menggambarkan kepentingan kelajuan, boleh dirujuk kepada masa yang diambil bagi menerima video 3.5 minit dengan menggunakan modem berkelajuan 28.8 kbps (ribu bit sesaat). Ia memakan masa selama 46 minit. Modem ini banyak digunakan oleh pengguna di rumah dan ia sangat perlahan bagi membawa kandungan multimedia.
Masa yang diambil bagi menerima klip video 3.5 minit dengan menggunakan teknologi berlainan
Jenis lebar jalur                         Masa pindahan
Modem 28.8 kbps                      46 minit
ISDN   128 kbps                        10 minit
Modem kabel 4 Mbps                   20 saat
ADSL 8 Mbps                              10 saat
Modem kabel                              10 Mbps 8 saat
Syarikat-syarikat telefon, satelit, penyedia perkhidmatan kabel, dan lain-lain sedang berusaha menghasilkan sambungan Internet yang lebih pantas. Teknologi lebar jalur terbaharu terus diperkenalkan, seperti ADSL (Asynchronous Digital Subscriber Line) yang membolehkan talian telefon tembaga menghantar data pada kelajuan 8 juta bit sesaat (Mbps). Pada kelajuan ini, pengguna dapat menerima video 3.5 minit dalam masa 10 saat.
Peningkatan bilangan pengguna Internet di seluruh dunia akan mengakibatkan lebar jalur yang sedia ada penuh dan tidak mampu menampung jumlah yang semakin bertambah. Dalam masa yang sama bilangan komputer dan peranti lain juga turut bertambah memenuhi Internet. Lebar jalur T1 dan E1 yang banyak pun tidak boleh memenuhi semua penggunaan Internet.
Dalam menangani perihal ini, wujud satu program yang dinamakan Internet generasi mendatang atau Next Generation Internet (NGI). Antara matlamat NGI ialah menyediakan penalaan (routing) dan pensuisan terabit, jaringan yang boleh mentadbir diri sendiri, dan testbed berkelajuan tinggi. Projek yang dimulakan di Amerika Syarikat ini menggabungkan ARPANET, CSNET, NSFNET, NASA dan pelbagai badan lagi.
Dari segi aktiviti pembangunan dan penyelidikan, projek ini bermatlamatkan untuk menghasilkan Internet II. Ia akan melibatkan pembinaan jaringan penyelidikan dan enterprise terkini untuk aktiviti penyelidikan dan aplikasi multimedia sepenuhnya. Aplikasi teknologi rangkaian dan protokol baru akan diperkenalkan dalam menghasilkan Internet II.
Oleh itu, satu revolusi bagi menampung keperluan lebar jalur Internet II telah dikenal pasti. Inilah revolusi yang dinamakan OC-12 dengan kapasiti kelajuan 622 megabit sesaat dan OC-192 dalam kapasiti kelajuan 10 gigabit sesaat. Melalui penggunaan sistem WDM (wavelength division multiplexing), sebanyak 16 OC-192 aliran bit akan diletakkan dalam setiap gentian optik. Ia akan menghasilkan kelajuan sebanyak 160 gigabit sesaat. Dengan bilangan saluran atau konduit yang sedia ada di tempat-tempat tertentu, muatan sebanyak 30 terabit dapat dihasilkan.
Melalui modem kabel selaju 10 Mbps, kita dapat mengambil video 3.5 minit hanya dalam masa 8 saat, bayangkan berapa banyak klip video dan kandungan multimedia dapat dipindahkan dengan kelajuan 30 terabit sesaat! Pihak yang membangunkan WDM juga turut bekerjasama dengan pihak Cisco, Juniper, Avivi dan syarikat router lain bagi menghasilkan router terabit.

Saturday, November 24, 2012

Notes On Early History Of Telecommunication and Internet


Nota Sejarah Awal Telekomunikasi dan Internet

Telekomunikasi

Komunikasi bermaksud perhubungan, perbualan atau pertukaran mesej di antara dua pihak atau lebih. Tele bermaksud jarak jauh. Maka, istilah Telekomunikasi bermaksud perhubungan jarak jauh. Telekomunikasi memainkan peranan penting di dalam peradaban manusia[1].

Telegraf

Sejarah telekomunikasi zaman moden bermula di sekitar abad ke 19 melalui penggunaan telegraf. Telegraph bermaksud kaedah komunikasi jarak jauh yang melibatkan penghantaran isyarat denyutan elektrik (electrical pulse). Denyutan elektrik yang dihasilkan boleh dipelbagaikan temponya. Manusia menggunakan kombinasi tempo denyutan elektrik untuk mewakili huruf. Melalui kaedah ini, bahasa pertuturan atau pertuturan akan dikodkan (coding) kepada kombinasi isyarat elektrik, dihantar kepada penerima melalui sambungan wayar elektrik dan didekodkan (decoding) semula kepada bahasa asalnya[2].
Teknologi ini telah dirintis oleh beberapa individu sehinggalah ia dimajukan dengan sempurna oleh Samuel Morse pada tahun 1838[3].
Pada tanggal 11 Januari 1938, Morse telah menghantar telegram pertama ke destinasi sejauh 3km[4].
Mesin Telegraph Morse
Melalui pembiayaan Kerajaan Amerika Syarikat, Morse terus mengembangkan teknologi ini. Pada tanggal 24 Oktober 1861, komunikasi Amerika Timur dan Barat telah berjaya dihubungkan melalui teknologi Telegraf lalu berakhirlah dominasi perkhidmatan keretapi (Pony Express) sebagai medium utama telekomunikasi zaman itu.
Seterusnya, pada tahun 1866, teknologi kabel jarak jauh telah dirintis bagi menghubungkan Amerika dan England. Projek yang dinamakan Transatlantic Cable[5] ini merupakan perintis kepada jaringan kabel dasar laut sedunia[6] yang menjadi tulang belakang dalam teknologi Internet pada hari ini.

Telefon

Pada tahun 1874, Alexander Graham Bell mengembangkan teknologi Telegraph dan menyempurnakannya sebagai Telephony. Pada asasnya Telephony bermaksud teknologi menghantar bunyi polyphonic melalui talian komunikasi. Teknologi ini mencetuskan revolusi kepada kaedah manusia berkomunikasi[7].
Ramalan Bell bahawa “a man in one part of the country may communicate by word of mouth with another in a distant place” [8] menjadi kenyataan apabila kini muncul syarikat telekomunikasi di seluruh dunia yang menjayakan aspirasi “communicate by word of mouth”.

Teknologi Kabel Komunikasi Dasar Laute

Kabel komunikasi dasar laut pada awalnya digunakan untuk saluran komunikasi Telegraf. Kemudiannya ia digunakan untuk saluran komunikasi Telefon. Seawal tahun 1901, jaringan kabel dasar laut telahpun menghubungkan tanah besar dunia[9]. Sehingga kini, semua benua telah dihubungkan kecuali Antartika.
Pelbagai teknologi kabel telah dimajukan untuk meningkatkan mutu perhubungan merentas benua[10].
Kabel dasar laut sangat kritikal pada telekomunikasi pada hari ini. Gangguan pada kabel ini boleh merencatkan perhubungan seluruh dunia[11]. Contohnya gempa bumi di Taiwan pada tahun 2006 mengakibatkan perhubungan Internet di kawasan Asia Tenggara terganggu hampir seminggu[12].

Penemuan Projek ARPAnet

Pada tahun 1969 penemuan projek ARPAnet[13] Membuka dimensi baru dalam dunia Telekomunikasi. Projek yang pada asalnya bersifat rahsia ketenteraan akhirnya menjadi satu fenomena yang digelar disruptive technology iaitu teknologi yang telah mengubah cara manusia bekerja dan bersosial.
WRITTEN BY NOTARAZI.COM