Auto-generate Flow Chart from Java/C++ Codes:

Raptor Flowchart Tutorial For Beginners

Monday, June 05, 2017

Panduan Daftar Domain Percuma

Apabila bisnes online makin berkembang, anda tentu mahu mempunyai alamat dotcom sendiri.

Panduan Daftar Domain Percuma


Hosting bermaksud perkhidmatan menyimpan dokumen web anda supaya ia boleh diakses melalui sambungan Internet. Apabila anda melanggan perkhidmatan hosting dari sesebuah syarikat, ia bermakna syarikat tersebut akan menyediakan sebahagian ruang simpanan datanya untuk menempatkan dokumen web anda.

Syarikat ini juga akan menyediakan alamat IP (cth: Alamat IP bagi Google adalah 64.233.160.0 ) supaya pengguna Internet boleh mengakses dokumen web anda melalui alamat IP tersebut. Walaubagaimanapun, sebahagian besar pengguna Internet mungkin tidak menggunakan Alamat IP. Sebaliknya mereka menggunakan Domain Name (cth: Domain Name bagi 64.233.160.0 adalah google.com) sebagai alternatif kepada Alamat IP yang agak sukar untuk diingati.

Cuba dahulu sebelum betul-betul miliki dotcom

Seeloknya, sebelum memiliki alamat dotcom sendiri, anda cuba dahulu menggunakan perkhidmatan hosting percuma. Ini akan memberi anda pengalaman dan kemahiran mengendalikan perkhidmatan hosting. Berdasarkan percubaan ini, anda akan dapat menilai samada mampu atau tidak mengendalikan laman dotcom anda kelak.


Salah satu perkhidmatan hosting yang percuma adalah seperti yang ditawarkan oleh www.hostinger.my

Klik pautan ini, https://www.hostinger.my/web-hosting#plans-pricing, dan pilih pakej percuma.




Selepas pendaftaran hosting percuma anda berjaya, anda akan mendapat Alamat SubDomain percuma. Sebagai contohnya, saya telah memilih Alamat SubDomain www.notarazi.esy.es



Jika saya menggunakan Web Browser dan melayari Alamat SubDomain di atas, saya akan dapat melihat dokumen web yang telah tersedia di alamat tersebut.


Panduan Langkah Demi Langkah


Ikuti panduan langkah demi langkah untuk daftar hosting dan subdomain di sini,


Saturday, June 03, 2017

Bagaimana mengkaji minat pembaca

Sehebat mana kita menulis, pembaca belum tentu mahu membaca jika ia bukan topik yang diminatinya. Bagaimana mengkaji minat mereka?

Bagaimana mengkaji minat pembaca

Ada dua jenis kategori pembaca. 

Kategori pertama ialah mereka yang hanya meninjau bahan bacaan sebelum menetapkan apa yang mahu dibacanya. Jika anda biasa berkunjung ke kios yang menjual akhbar, anda tentu biasa melihat pengunjung yang datang membelek-belek tajuk akhbar atau majalah. Sebahagian daripada mereka akhirnya akan membeli akhbar atau majalah tadi manakala sebahagian yang lain berlalu pergi. 

Adakah peniaga akan kerugian jika pengunjung datang membelek dan kemudiannya berlalu pergi? Dalam jangka masa yang panjang, peniaga tidak mungkin rugi kerana ia adalah sebahagian dari aktiviti promosi. Berbagai keywords (kata kunci) telah diserap oleh pengunjung dalam fikirannya dan keywords bersama kios itu akan muncul semula dalam mindanya apabila diperlukan nanti.

Kategori kedua ialah mereka yang sudah ada perkara yang mahu dicarinya. Mereka akan datang berkunjung ke kedai buku dan terus bertanya kepada penjaga kedai tentang tajuk atau topik yang dikehendakinya. Penjaga kedai yang berpengalaman selalunya sudah tahu di mana letaknya bahan yang dicari. Malah mereka mungkin sudah menyimpan koleksi tambahan bagi tajuk atau topik popular yang diminati pelanggan.

Dunia Internet tidak jauh bezanya dengan kedai buku. Kita juga boleh melihat ragam kedua-dua kategori pembaca di sini.



Ada sebahagian pengguna Internet yang mempunyai tabiat meninjau berita atau tajuk terkini setiap masa.  Mereka mungkin akan bermula dengan laman Facebook, portal berita atau hiburan dan sebagainya. Mereka akan meninjau tajuk, gambar, tags dan lain-lain untuk mendapatkan gambaran tentang perkara terkini yang mahu diketahuinya. Ketika inilah, pengamal media sosial akan mengambil peluang mempromosikan bahan masing-masing sehabis baik melalui pemilihan tajuk, gambar dan lain-lain yang boleh mendorong pengguna Internet untuk membacanya.

Ada sebahagian pengguna Internet pula sudahpun mempunyai persoalan yang mahu dicari jawapannya. Mereka terus mengunjungi laman carian seperti Google dan menaip keywords cariannya.

Contohnya seperti dalam gambar di atas.
...belajar buat scaloop
...baju kurung riau pahang tradisional
...buku cara jahit langsir
...cara buat langsir
...cara buat langsir swag
...cara mengukur scallop
...jubah lelaki yang saiz bahu 15 setengah
...macam mana melipat lopor langsir
...scallop untuk pintu

Contoh ini merupakan keywords carian yang dicari oleh pengguna yang membawa mereka melawat salah satu blog saya. Maklumat ini sangat berguna kerana ia memberitahu saya kandungan tulisan saya yang mana satukah yang sebenarnya dicari dan dibaca oleh pengguna Internet. Sebagai seorang penulis, matlamat saya ialah menulis untuk dibaca. Maka, berdasarkan maklumat ini, saya akan mendapat gambaran bagaimana menghasilkan bahan baru yang akan menarik minat mereka.

Setiap Content Management System (CMS) seperti Wordpress, Drupal, Blogger dan sebagainya mempunyai modul laporan sebegini. Selalunyai dipanggil sebagai Statistics atau Stats. Cuba periksa CMS anda dan kaji apa sebenarnya yang dibaca oleh pengguna Internet selama ini.


Contoh Blogger Stats




Contoh Wordpress Stats



Thursday, June 01, 2017

Pernahkah anda dengar "Pemutar Gelisah"?

Seorang remaja mengeluarkan sejenis alat pemutar dan memainkan alat tersebut di hujung jarinya. Seorang pakcik di sebelahnya melihat kehairanan. “Apa benda tu?”
.
Pernahkah anda dengar "Pemutar Gelisah"?
Bunyinya agak pelik kerana itulah terjemahan yang diberikan oleh Google (https://translate.google.com/#en/ms/fidget%20spinner ) buat masa ini terhadap sejenis alat yang diperkenalkan sebagai “Fidget Spinner”. “Fidget Spinner” tiba-tiba menjadi alat permainan popular pada tahun 2017. Toucharchade.com telah membuat perbandingan popularity di antara perkataan “fidget spinner” dan “justin bieber”. Hasilnya, didapati “fidget spinner” telah mengatasi populariti artis tersebut.
Jika anda berkunjung ke kedai alat permainan, besar kemungkinan “Fidget Spinner” ada dijual di sana.

Siapakah pencipta “Fidget Spinner”?

Mengikut Time.com, “Fidget Spinner” dicipta oleh Catherine Hettinger dari Orlando pada tahun 1993 dan kemudiannya mempatenkannya pada tahun 1997. Tujuan asal alat ini dicipta adalah sebagai satu alat permainan yang boleh menenangkan kanak-kanak yang tidak dapat duduk diam. Kemudiannya, beliau mendapati golongan dewasa turut menggemarinya. Beliau berjaya menjual beberapa ribu unit di Florida pada ketika itu.

Tabiat untuk memusingkan sesuatu

Konsep permainan “Fidget Spinner” sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Jika diperhatikan gelagat pelajar suatu ketika dahulu, ada yang gemar memusingkan pen dan buku di jarinya (lihat video di bawah).

Tabiat dalam masyarakat tradisional yang hampir menyamai konsep ini adalah permainan gasing. Walaupun permainan ini sekadar untuk memutarkan gasing dan menunggunya berpusing hingga berhenti, ia menjadi suatu keseronokan apabila pemain dan penontonnya ternanti-nanti bilakah gasing itu akan tamat berpusing.

Adakah tabiat ini bahaya?

Tabiat bermain sesuatu di jari tidak bahaya sekiranya ia dilakukan tanpa mengganggu tumpuan atau kerja yang lain. Ia juga mungkin membantu melegakan rasa gelisah bagi sesetengah orang.
Pada pandangan saya, jika ia boleh mengurangkan ketagihan remaja bermain smartphone atau tablet, apa salahnya bermain “fidget spinner”.
.

Wednesday, May 31, 2017

Nostalgia komputer

Anda mungkin tidak pernah melihat komputer seperti ini yang menggunakan pemain kaset dan skrin tv rumah untuk berfungsi.
.
Nostalgia komputer
Saya mula mengenali perkataan komputer seawal zaman sekolah rendah di tahun 80an. Kebetulan, saya menghadiri kelas tuisyen Cikgu Zahur di Alor Setar. Di pejabatnya ada komputer. Di ruang rehat pula, ada sejenis mesin permainan video bernama Atari. Walaupun Sistem Atari itu tidak sama seperti sistem komputer pada hari ini, ia cukup untuk memberi gambaran ringkas komponen komputer iaitu CPU, keyboard dan skrin tv.
Sistem Atari itu menjadi rebutan pelajar-pelajar tuisyen ketika masa rehat. Yang tidak berpeluang bermain akan tumpang menonton sama. Maklumlah, ketika itu permainan video seperti ini masih asing dan tidak mampu dimiliki oleh semua orang. Kalau pun tidak dapat bermain, dapat bercerita tentangnya di sekolah sudah memadai untuk menjadi satu kebanggaan.
        Saya sendiri teruja apabila melihat bagaimana alat tersebut boleh berinteraksi dengan manusia. Kadang-kadang apabila berbual dengan rakan-rakan tuisyen yang lebih berada dan mempunyai komputer di rumahnya, saya bertanya betulkah komputer itu boleh berfikir dan menyelesaikan masalah. Barangkali saya terpengaruh dengan siri tv Riptide. Dalam siri tersebut terdapat watak seorang programmer yang banyak membantu menyelesaikan kes siasatan jenayah dengan menggunakan komputer.
Ada yang secara berseloroh memberitahu saya memang komputer itu boleh berfikir dan mampu membuat ramalan. Tanpa berfikir panjang, apabila pulang dari tuisyen, saya meminta mereka bertanya kepada komputer adakah Pasukan Bola Sepak Negeri Kedah boleh menjuarai kejohanan Liga Bola Sepak Malaysia pada tahun 1987. Kata komputer, Ya. Malangnya ramalan itu tidak tepat. Agak lucu juga jika dikenang kembali kerana saya tidak tahu bagaimana sebenarnya mereka “bertanya kepada komputer”. Lurus bendul, kata orang.
Pada penghujung tahun 1987, saya berpeluang berjalan-jalan di Kuala Lumpur dan menumpang di rumah kakak dan abang yang tinggal di sana. Abang saya seorang jurutera. Di rumahnya, saya terjumpa dengan satu lagi mesin komputer rumah yang agak canggih di zaman itu iaitu Sinclair ZX Spectrum keluaran Syarikat UK.
Pada ketika ini, mesin seperti ini hanya digunakan di rumah untuk tujuan hobi atau memenuhi rasa ingin tahu. Siapa sangka alat yang mempunyai keyboard ini akhirnya menyerbu masuk dunia pejabat di tahun 90an dan menyingkirkan mesin taip sekaligus melenyapkan fungsi jurutaip (typist) di kemudian hari.

Mesin Sinclair ZX Spectrum ini menggunakan kaset sebagai media simpanannya. Ya, kaset juga adalah sejenis media simpanan yang telah pupus. Zaman 80an, kasetlah yang membantu menyebarkan lagu-lagu Sudirman, Alleycats, Sweet Charity dan lain-lain.
Apabila Compact Disc (CD) diperkenalkan, sebahagian peminat muzik beralih kepada media tersebut kerana kualitinya lebih baik. Namun, bagi yang mahu menjimatkan kos, kaset masih menjadi pilihan kerana harganya yang dua atau tiga kali ganda lebih murah. Agak lucu juga apabila ada kumpulan muzik tempatan iaitu 4U2C menjadikan CD sebagai identiti mereka.
Bagaimanapun, edaran CD dan kaset mula terjejas teruk di sekitar tahun 2000 apabila format digital MP3 diperkenalkan. Lagu-lagu boleh disimpan dan dipindahkan dengan mudah ke dalam komputer sehingga pengguna tidak perlu membeli CD dan kaset lagi. CD masih mampu bertahan. Tetapi kaset mula pupus semenjak itu.
Nostalgia Atari, Riptide, Kaset, CD, MP3 dan lain-lain merupakan antara yang tidak dapat dilupakan ketika generasi saya mula mengenali komputer dan mengadaptasinya ke dalam kehidupan seharian. Jika anda pernah menonton filem Pixels (2015), ia satu flash back yang agak menarik tentang hal ini.
Komputer itu kadangkala digelar Disruptive Technology iaitu teknologi yang boleh mengubah cara hidup manusia. Bayangkan kanak-kanak zaman saya yang biasa bermain police sentry telah dikejutkan dengan permainan PacMan dan Space Invaders. Lebih malang lagi, bayangkan penyanyi dan pemuzik yang hilang pendapatan akibat berleluasanya gejala MP3 copy-paste.
Kesimpulannya, teknologi komputer itu sentiasa berubah dan berkembang. Ia bukan sahaja mempengaruhi cara manusia bekerja, malah ia turut mempengaruhi cara manusia bermain dan berhibur. Sifat Disruptive Technology yang datang bersama komputer ini wajar kita berikan perhatian. Tidak mustahil gaya hidup kita akan berubah malah kita mungkin berisiko hilang punca pendapatan akibat perubahan teknologi.
.

Friday, May 05, 2017

Tips Komunikasi Penulisan Berkesan


.

Tips Komunikasi Penulisan Berkesan
Effective Writing Communication Tips

PENYAMPAIAN YANG BERKESAN

Untuk menyampaikan maklumat dengan berkesan, anda harus menentukan dua perkara berikut iaitu butir maklumat yang jelas dan kaedah yang sesuai dengan penerimaan kumpulan sasaran anda.

FOKUS PADA TUJUAN KOMUNIKASI

Menyampaikan butir maklumat yang jelas adalah sangat kritikal dalam komunikasi. Kerapkali berlaku pihak penerima tidak memahami dengan jelas butir maklumat sebenar. Akibatnya, komunikasi terbantut dan mungkin hubungan anda dan pihak penerima terjejas akibat salah faham ini. Jika anda berniaga, pelanggan mungkin beralih kepada peniaga lain. Jika anda pemimpin, pengikut mungkin mencari pemimpin atau organisasi yang lain. Berusahalah sebaik mungkin untuk mengelakkan salah faham atau mengganggu emosi pihak penerima. Ingat sepanjang masa bahawa tujuan anda adalah mengajak mereka menerima mesej anda. Kekalkan fokus anda pada tujuan ini.

FIKIR DUA KALI

Senaraikan semua perkara yang anda mahu sampaikan. Mungkin ada 10 perkara yang anda terfikir mahu sampaikan kepada mereka. Kemudian perhatikan setiap perkara ini dan tanya kepada diri sendiri, adakah mereka perlu tahu perkara ini sebelum membuat tindakan atau keputusan? Jika perkara ini tidak diperlukan atau melebihi keperluan, keluarkan ia dari senarai tadi. Akhirnya senarai anda mungkin mengandungi separuh sahaja dari jumlah asalnya. Ia sepatutnya menjadi satu senarai yang padu kerana anda sudah berfikir dua kali (think twice) sebelum menyampaikannya.

KENALPASTI BENTUK RESPON YANG ANDA KEHENDAKI

Apakah tujuan anda berkomunikasi? Adakah untuk menyampaikan maklumat, memberikan arahan, melontarkan pandangan, meminta persetujuan, mengajak bertindak atau menularkan perkhabaran? Sebaiknya, nyatakan hal ini terlebih dahulu supaya penerima dapat menyediakan minda dan emosinya untuk menerima mesej anda. Jika mereka belum bersedia, tangguh dahulu komunikasi ini ke masa lain yang sesuai. Jika anda mahu menerbitkan artikel, pastikan tahap minda dan emosi penerima anda sesuai dengan kandungan anda.

TONA PENULISAN

Tona penulisan bermaksud pemilihan kata-kata yang menggambarkan sikap penulis terhadap perkara yang mahu disampaikan. Perhatikan tajuk berikut:
1) Percutian yang meriangkan (Tona gembira)
2) Melancong sambil melencong (Tona sarkastik)
3) Kembara anak gelandangan (Tona pessimis)
4) Terjah sarang iblis (Tona agresif)
Keempat-empat tajuk di atas memberikan impak emosi yang berbeza kepada penerima. Ia boleh membawa kebaikan atau keburukan dalam komunikasi anda. Mungkin tajuk ini sesuai menyampaikan mesej atau menjadi gimik kepada penyampaian mesej anda. Mungkin ia tidak disukai oleh penerima dan akibatnya mereka menolak untuk membaca mesej anda yang seterusnya. Fokus kepada tujuan anda. Ubah tona jika perlu supaya tujuan anda tercapai.

PEMILIHAN PERKATAAN YANG SESUAI

Pemilihan perkataan yang sesuai boleh membantu anda mencapai objektif komunikasi tanpa perlu bercakap atau menulis panjang. Pilih perkataan yang biasa digunakan oleh kumpulan penerima. Pilih istilah, perkataan pinjaman, laras bahasa dan peribahasa yang boleh difahami oleh mereka. Penggunaan elemen bahasa yang pelik mungkin boleh menjadi gimik tetapi jika ia disalaherti oleh mereka, komunikasi akan terbantut.

KOMBINASI TAJUK, GAMBAR DAN PETIKAN

Deria penerimaan manusia berbeza. Ada yang suka membaca teks sambil menyebutnya. Ada yang mudah terpesona melihat elemen visual. Ada pula yang membaca apabila tersentuh emosinya. Bagaimanakah kita menarik kumpulan yang berbeza ini untuk menerima mesej perbualan atau penulisan kita?
Gabungkan tajuk, gambar dan petikan sebagai permulaan kepada penyampaian komunikasi anda.
Lihat contoh berikut.
TAJUK: Tips Bebas Dari Hutang
GAMBAR: Orang melompat gembira
PETIKAN: “Hutang itu macam hantu! Ayuh lari bebas darinya.”
.

DOWNLOAD

https://www.slideshare.net/notarazi/tips-komunikasi-penulisan-berkesan